Buletin

PRN Johor: PN tawar ikrar pengecualian bayaran lesen perniagaan, air dan komputer riba percuma

Perikatan Nasional (PN) menawarkan beberapa ikrar dalam manifesto yang diumumkan hari ini yang antaranya mengecualikan bayaran lesen perniagaan, air percuma dan pemberian komputer riba pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali in.

Tawaran tersebut dibuat kepada pengundi Johor sekiranya mereka memilih gabungan PN untuk menjadi kerajaan negeri pada PRN yang berlangsung 12 Mac ini.

PN menyediakan Ikrar berteraskan lapan tunjang utama, berpacukan 24 strategi dan berlandaskan 145 pendekatan.

“Ikrar yang ditawarkan ini bukan retorik semata-mata.

“Ikrar ini adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat,” kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa melancarkan ikrar tersebut di Johor Bahru pagi ini.

Bagi memastikan ekonomi Johor mampan melalui pendigitalan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), Muhyiddin berkata pengecualian pembayaran lesen perniagaan akan dilaksanakan sekiranya rakyat Johor memilih PN untuk menerajui kerajaan negeri.

“Selain itu penyediaan hab PMKS dan Skim Prihatin PMKS, pengecualian sepenuhnya bayaran lesen perniagaan bagi PMKS di seluruh negeri Johor diberikan untuk tempoh lima tahun agar usahawan PMKS dapat terus menjadi antara pemangkin utama ekonomi Johor.

“Dengan perancangan yang holistik, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat Johor. Di samping itu, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengumumkan langkah menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat di Johor yang terjejas akibat kesan pandemik Covid-19 yang lalu.

“Perikatan Nasional akan terus berusaha untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat di negeri Johor bagi meringankan beban yang ditanggung.

“Oleh itu, Perikatan Nasional menawarkan skim air percuma sebanyak 20 meter padu kepada isi rumah berpendapatan rendah, memperluaskan Program Jualan Prihatin Rakyat, meneruskan pengagihan bakul makanan Johor Prihatin secara berkala dan memperkasa penyelarasan pengagihan bantuan prihatin rakyat bagi memastikan tiada kumpulan yang memerlukan tercicir, termasuk OKU,” katanya lagi.

Muhyiddin juga menekankan peranan anak muda di Johor adalah penting ke arah mewujudkan pembangunan insan yang lestari dan kerajaan PN akan menyediakan pelbagai inisiatif untuk memastikan mereka tidak terpinggir, disamping akan menyediakan komputer riba percuma kepada anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian.

“Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

“Sebagai contoh, Dewan Undangan Negeri Belia dan Yayasan Kepimpinan Anak Muda Johor akan diwujudkan bagi menggilap generasi pemimpin masa depan dalam kalangan anak muda.

“Bantuan komputer riba dan bantuan tunai juga akan disediakan untuk anak-anak muda yang akan melanjutkan pengajian,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata kemudahan infrastruktur dan kemudahan awam juga akan dipertingkatkan, antaranya liputan internet 5G dan kemudahan wifi secara percuma akan diperluaskan di pusat tumpuan orang ramai seluruh Johor.

“Perikatan Nasional berikrar akan meningkatkan kecekapan infrastruktur, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta jambatan, landasan keretapi, pengangkutan awam dan lapangan terbang.

“Seiring dengan keperluan akses Internet, liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di pusat tumpuan orang ramai,” katanya lagi.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top