Travel

Program gelembung perjalanan beri sinar kepada industri pelancongan

Kuala Lumpur: Pembukaan sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan bermula 16 September ini, membawa sinar kepada penggiat industri pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program yang akan dilaksanakan berdasarkan syarat yang ditetapkan itu, dengan projek rintisnya di Pulau Langkawi juga membolehkan Pelan Pemulihan Pelancongan yang digariskan kementerian dapat dilaksanakan segera.

“Ia adalah satu berita gembira bukan saja kepada kementerian, malah penggiat industri ini yang turut membabitkan pekerja yang sudah lama terjejas teruk berikutan penutupan hotel dan restoran di pulau peranginan itu akibat Covid-19.

“Saya yakin pembukaan sektor pelancongan domestik yang akan dibuat secara berperingkat mengikut fasa ini dapat memberikan sinar buat penggiat industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan dalam masa terdekat dengan Langkawi dipilih sebagai projek rintis bermula 16 September ini.

Nancy memaklumkan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis bagi menyemarakkan kembali industri yang sudah lama terjejas, berikutan pulau itu terasing dan akan memudahkan urusan pemantauan.

“Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.

“Jika projek rintis Langkawi ini berjalan dengan jayanya, saya percaya ia dapat mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong kerana apa yang dilihat akan dipercayai,” katanya.

PALING POPULAR

To Top