Umum

Program masakan ‘Warung Pak Jabit’ penampilan terakhir Mamat Khalid

BERITA pemergian pengarah terkemuka Mamat Khalid semestinya mengejutkan industri hiburan dan pencinta filem tanah air.

Allahyarham meninggalkan karya-karya hebat yang akan terus diminati seperti Hantu Kak Limah, Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan banyak lagi.

Selain karya yang telah siap ditayangkan, Allahyarham juga telah menjalani penggambaran sebuah rancangan masakan terbitan Astro Gempak yang turut menampilkan anaknya, Adam Khalid iaitu “Warung Pak Jabit”.

Program masakan yang diarahkan sendiri oleh Allahyarham itu menampilkan perbezaan apabila beliau sendiri tampil memasak di hadapan kamera berbanding penglibatannya yang hanya di belakang tabir sebelum ini.

Difahamkan, penggambaran Warung Pak Jabit berkonsepkan sketsa dengan latar belakang Kampung Pisang telah menjalani penggambaran pada September lalu selama dua minggu, dan dijadualkan menemui penonton pada Ramadan akan datang.

Selain Mamat dan Adam, program masakan 15 episod berdurasi 30 minit di bawah Gempak Original Series itu juga akan menampilkan barisan pelakon Kampung Pisang yang diminati ramai.

Antara menu yang dimasak dalam program berkenaan adalah Nasi Lemuni, Tempoyak Kacau, Pulut Panggang dan banyak lagi menu tradisional yang semakin dilupakan cara penyediaannya.

Terdahulu, Allahyarham Mamat Khalid disahkan meninggal dunia pada 12.30 tengah malam tadi di Hospital Slim River, Perak akibat serangan jantung.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan serta lima orang anak.

PALING POPULAR

To Top