Umum

Puad Zarkashi kritik podcast Yang Bakar Menteri

Gambar Facebook

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi terus mengkritik program bual bicara podcast YBM atau ‘Yang Bakar Menteri’ dikendalikan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang didakwa hanya membentangkan formula dan alasan berbanding kejayaan mengurus ekonomi.

Menurut pemimpin umno itu, rakyat mahukan penyelesaian dan sudah jemu mendengar “formula” daripada Rafizi.

“Kita mahu solution ringgit turun, tol turun, harga kereta turun dan harga barang juga turun.

“Cuba turunkan satu daripada isu di atas. Rakyat jemu dengar formula dan alasan. Podcast ‘Yang Bakar Menteri’ gimik mempopularkan diri.

“Jangan buang masa rakyat untuk dengar temberang. Tukar nama podcast itu kepada nama baru ‘Ini kejayaan formula saya’,” kata Puad di Facebook.

Terdahulu, Puad yang juga Adun Rengit turut membuat hantaran di Facebooknya yang menyentuh podcast tersebut.

Dalam hantaran tersebut, beliau membidas kenyataan Rafizi yang menyatakan kejatuhan ringgit berpunca skandal 1mdb.

“Buat apa “bakar menteri” macam Rafizi. Rakyat mahu “solution”. Kita mahu formula realistik termasuk pengukuhan nilai ringgit.

“Tidak payah cari salah termasuk cerita basi kononnya 1MDB punca ringgit jatuh. Tahukah Rafizi nilai ringgit kukuh semula pada tahun 2017 hingga ke PRU ke 14 2018.

“Formula Rafizi paling jahanam ialah “Najib turun ringgit naik”. Rupanya sejak Najib turun ringgit makin turun sebanyak 24.1% berbanding USD.

“Rakyat Malaysia tidak marah pada Rafizi. Mereka tidak akan bakar dia. Menteri akan terbakar sendiri jika terus temberang,”tulisnya di Facebook.

PALING POPULAR

To Top