Umum

Kerajaan Terengganu akan teliti semua aspek Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri

Gambar Facebook

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Kerajaan Terengganu akan meneliti semua aspek Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri itu supaya tidak bercanggah dengan peringkat persekutuan.

Menurut beliau penelitian itu merangkumi semua aspek berdasarkan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, terbatal dan tidak sah.

“Kerajaan negeri juga akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat pihak yang ingin mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah,” katanya dilaporkan Utusan Malaysia.

Naib presiden PAS itu turut berpandangan keputusan Mahkamah Persekutuan itu memberi impak negatif kepada sistem perundangan syariah di seluruh negeri, bukan sahaja di Kelantan.

Pada Jumaat lalu, panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 8-1 di mana Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza.

Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan DUN terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya, bagaimanapun memutuskan dua lagi peruntukan kesalahan adalah sah.

PALING POPULAR

To Top