Umum

Pukul anggota JPJ, lelaki dipenjara sehari, didenda RM4000

Gambar Facebook

Seorang lelaki yang telah tular rakaman video di media sosial memukul anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dipenjara satu hari dan didenda RM4,000.

Menurut Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim, video berdurasi satu minit 24 saat itu berlaku pada 22 November lalu, memaparkan sebuah lori model Nissan Vanette enggan berhenti semasa ditahan oleh anggota JPJ untuk pemeriksaan lanjut.

Jelasnya, kenderaan tersebut kemudiannya berhenti di Jalan Tasik Darul Aman, Jitra, Alor Setar dan telah menyerang anggota JPJ yang bertugas sambil mengeluarkan kata-kata kesat selain provokasi.

“Ketika kejadian, anggota bertugas sedang melakukan tugas rondaan penguatkuasaan dan mengesan sebuah kenderaan yang mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat tiga kesalahan yang dikesan iaitu Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada Perlindungan Insurans dan Perakuan PUSPAKOM Tamat Tempoh,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Katanya lagi, kenderaan itu kemudian diarahkan untuk berhenti namun pemandu enggan memberi kerjasama.

“Ketika ditahan, individu terbabit melakukan kekerasan jenayah dan menghalang penjawat awam daripada melakukan tugas,” ujar beliau.

Tambahnya, satu laporan polis kemudiannya dibuat oleh anggota JPJ tersebut.

“Lelaki berkenaan yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai peniaga air tebu itu sudah ditahan polis dan sudah pun didakwa di Mahkamah Majistret Jitra di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

“Individu terbabit sudah menjalani hukuman selepas mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu hari dari tarikh sabitan dan denda sebanyak RM4,000,” kata Aman Shah.

 

PALING POPULAR

To Top