Umum

RM700juta untuk publisiti, beberapa bekas pemimpin kerajaan akan dipanggil berhubung isu

Beberapa bekas pemimpin kerajaan akan dipanggil berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Menurut Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim, setakat ini tiada lagi mana-mana bekas pemimpin kerajaan dipanggil untuk kes tersebut.

“Mengenai bila (bekas pemimpin) akan dipanggil, itu bergantung kepada kecepatan kami mengumpul semua dokumen berkaitan.

“Dokumen yang diperoleh ini perlu disemak dahulu sebelum tindakan susulan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas mengenai siapa bekas pemimpin yang akan dipanggil, Hishamuddin berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan buat masa ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.

Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu yang menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

 

PALING POPULAR

To Top