Umum

Pulau Pinang rekodkan peningkatan jumlah kes denggi

Gambar Hiasan

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan sebanyak 122 kes demam denggi di seluruh Pulau Pinang pada Minggu Epidemiologi ke-45 (ME45) bagi tempoh 5 hingga 11 November 2023.

JKNPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan bagi tempoh sama turut menunjukkan peningkatan kepada 6,608 kes berbanding 6,486 pada ME44, dengan 9 kematian dilaporakan akibat komplikasi.

Daerah Barat Daya mencatatkan bilangan kes paling tinggi iaitu 45 diikuti Seberang Perai Tengah (SPT) 31 kes, Seberang Perai Selatan (SPS) 23 kes, Timur Laut 17 kes dan Seberang Perai Utara (SPU) 6 kes.

Bagi kumulatif kes, daerah SPT merekodkan bilangan tertinggi dengan 3,244 kes, SPS (1,155), Timur Laut (1,125), Barat Daya (651) dan SPU 433 kes.

Turut dimaklumkan pada hari pertama ME46, 30 bilangan wabak semasa di 5 daerah dalam negeri ini dengan kumulatif wabak sebanyak 710 direkodkan.

Antara lokaliti yang menjadi ‘hotspot’ kes denggi di Pulau Pinang ialah Taman Impian Ria (Zon B) dan Taman Juru di SPT, lokaliti wabak tidak terkawal di Taman Perindustrian Beringin (A) di SPT manakala lain-lain lokaliti adalah terkawal.

Mengenai survelan chikungunya, hanya 1 kes direkodkan di daerah Barat Daya pada ME45 dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 38.

Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan tiada takungan air di rumah yang menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes selain memastikan persekitaran kediaman bersih bagi mencegah kes demam denggi.

PALING POPULAR

To Top