Polis menyerbu sebuah pusat panggilan sindiket pelacuran antarabangsa beroperasi dalam talian pada hari Jumaat.
Pusat panggilan yang terletak di sebuah pusat komersil di Bayan Baru tersebut dikatakan mampu mengaut keuntungan sehingga RM1 juta sebulan.
Ketua Polis Barat Daya, Kamarul Rizal Jenal, berkata dalam serbuan 5.30 petang itu, polis menahan 5 lelaki dan 6 wanita, yang semuanya warga tempatan berusia 21 hingga 65 tahun, termasuk seorang lelaki berumur 33 tahun yang merupakan dalang utama bersama ibunya.
Polis menyerbu premis itu selepas menerima aduan awam dan risikan.
Berdasarkan siasatan awal, didapati mereka yang ditahan ialah operator di pusat panggilan itu yang menjalankan kegiatan pelacuran secara dalam talian membabitkan urus niaga di Australia, termasuk pelacur dan pelanggan di sana,” katanya pada sidang media.
Pusat panggilan itu, berperanan mempromosi dan mengiklan kegiatan pelacuran bagi pelanggan di Australia menerusi sebuah laman web, yang akan menghubungkan dengan operator di pusat panggilan tersebut bagi urus niaga berkenaan.
Menurutnya, pekerja mereka akan menguruskan urus niaga pelacuran, sebelum pelanggan bertemu dengan pelacur juga warga Australia, yang mengenakan bayaran antara AUD200 hingga AUD3,000 bergantung perkhidmatan ditawarkan.
Katanya, pelacur itu seterusnya akan membayar komisen bagi urus niaga tersebut kepada sindiket terbabit dan siasatan mendapati pusat panggilan menerima lebih RM30,000 sehari atau RM1 juta sebulan bagi kegiatan itu.
“Menerusi laman web itu, sindiket tersebut yang dipercayai turut mempunyai rangkaian di Australia, menawarkan sehingga 120 wanita sebagai pelacur dan urus niaga dijalankan oleh pusat panggilan tersebut, menggunakan semua sim kad syarikat telekomunikasi Australia,” katanya.
Menurut laporan media, kamarul berkata siasatan mendapati pusat panggilan itu beroperasi 24 jam dengan pekerjanya bekerja dalam dua syif dan dibayar gaji antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan.
Tambahnya, dalang utama didapati pernah bekerja di Australia dan sering ke sana dengan kali terakhir pada Julai lalu, malah pernah terlibat dengan kumpulan pelacuran di sana.
“Laman web berkenaan masih aktif dan polis percaya sindiket di Australia masih lagi aktif menjalankan kegiatan tersebut. Lelaki itu juga didapati mendaftarkan perniagaannya secara sah dengan menyatakan syarikatnya beroperasi sebagai syarikat teknologi maklumat, di pusat komersial tersebut.
“Premis pusat panggilan itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengawasi kehadiran pihak berkuasa, malah pintu masuk turut dipasang kad akses bagi pekerja bagi mengelak orang luar masuk,” katanya.
Kamarul berkata, pihaknya menyalurkan semua maklumat berhubung kegiatan itu kepada Bukit Aman, bagi membolehkan kerjasama dengan polis di Australia untuk menumpaskan jenayah tersebut.
“Polis merampas pelbagai barangan antaranya 161 telefon bimbit, 11 unit monitor, empat modem dan lapan CPU. Semua suspek ditahan reman enam hari hingga 26 Okt bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372 (1)(e) dan Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber FMT