Umum

Rafizi-Syahir capai persetujuan, Astro AWANI anjur Debat Ekonomi Malaysia 9 Ogos

Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman berubah fikiran dan bersetuju menerima undangan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk berdebat.

Bukan sekadar bersetuju menerima jemputan, bahkan, Mohd Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok sedia berdebat dengan Menteri Ekonomi itu tanpa sebarang syarat.

Menurut Mohd Syahir, persetujuan itu dibuat setelah beliau mempertimbangkan semula jemputan Rafizi serta mendapat keizinan pucuk pimpinan parti.

“Justeru pemilihan tarikh, moderator, format, dan media, saya serahkan kepada pihak Rafizi untuk tetapkan. Pemilihan tajuk saya cadangkan, “MALAYSIA LEBIH BAIK”,” katanya dalam e-mel kepada Rafizi, pada Selasa.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Ekonomi, Mohd Rashidi Ruslan dalam balasan e-mel kepada Syahir berkata, Rafizi menzahirkan ucapan terima kasih atas persetujuan mengenai debat tersebut.

“Sehubungan itu pentadbiran ini mencadangkan Astro AWANI dilantik sebagai pihak berkecuali bagi menganjurkan debat tersebut.

“Pentadbiran ini mencadangkan agar tarikh debat tersebut diadakan pada Rabu 9 Ogos 2023 atau satu tarikh sebelum Hari Mengundi Pilihan Raya Negeri iaitu sebelum 12 Ogos 2023.

“Perbincangan mengenai ketetapan tarikh serta format debat tersebut akan diuruskan oleh pihak Astro AWANI dan dipersetujui secara bersama kedua-dua pihak,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Rashidi berkata, Rafizi turut mengucapkan tahniah kepada Syahir atas penerimaan jemputan bagi menjayakan debat berkenaan.

“Semoga debat tersebut akan dilangsungkan dengan jayanya di dalam meraikan perbezaan pandangan serta idea dan dapat dijadikan sebagai satu wadah di dalam membudayakan kematangan demokrasi di negara ini,” ujar Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR itu lagi.

Sebelum ini, Rafizi yang dalam ceramahnya mencabar bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat dengannya mengenai ekonomi Malaysia.

Kata Rafizi, cabaran berdebat tersebut bagi membuktikan rekod Mohamed Azmin ketika menjadi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri lebih baik daripada Kerajaan Perpaduan sekarang.

Bagi menjayakan debat berkenaan, Astro AWANI menawarkan ruang buat kedua-dua pemimpin berkenaan berdebat di pentas.

Bagaimanapun, Azmin meletakkan syarat menyebabkan hasrat Rafizi tidak kesampaian.

Tidak berputus asa, Rafizi kemudiannya mempelawa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula menggantikan Azmin dalam membincangkan isu ekonomi negara.

Sekali lagi, hasrat Rafizi tidak tercapai kerana Muhammad Sanusi juga menolak pelawaan itu.

Pelawaan ketiga Ahli Parlimen Pandan itu kemudiannya terarah kepada Mohd Syahir yang juga pada awalnya menolak jemputan itu.

Namun, hari ini, Mohd Syahir memberikan persetujuannya untuk berdebat dengan Rafizi tanpa syarat.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top