Sports

Ragbi Kelayakan Piala Dunia: Skuad 7 sebelah negara bertemu Korea Selatan, Hong Kong

Skuad ragbi tujuh sebelah negara diundi bersama Korea Selatan, Hong Kong dan Filipina dalam Kumpulan A Kelayakan Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah 2022 yang dijadualkan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bulan depan.

Acara undian yang berlangsung di Majlis Sukan Dubai semalam juga menyaksikan tuan rumah diundi dalam Kumpulan B bersama kuasa ragbi Asia seperti Jepun, Sri Lanka dan China menurut laman sesawang:

Bagi kelayakan wanita dalam kejohanan sama yang juga dikenali sebagai Siri Tujuh Sebelah Ragbi Asia, Jepun, Kazakhstan, Thailand dan Filipina diundi dalam Kumpulan A sementara China, Hong Kong, Sri Lanka dan Malaysia diundi dalam Kumpulan B.

Kedua-dua kelayakan lelaki dan wanita ditetapkan dari 19 hingga 20 Nov dengan perlawanan kumpulan berlangsung pada hari pertama dan separuh akhir serta final pada hari kedua.

Dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan akan beraksi di separuh akhir serta pasukan lelaki dan wanita melangkah ke final akan layak bertanding di Piala Dunia Ragbi Tujuh Sebelah yang akan berlangsung di Cape Town, Afrika Selatan September tahun depan.

Lapan pasukan teratas lelaki iaitu New Zealand, England, Afrika Selatan, Fiji, Argentina, Amerika Syarikat, Perancis, Scotland bersama lima pasukan wanita — New Zealand, Perancis, Australia dan Amerika Syarikat dan Afrika Selatan sudah mendapat kelayakan automatik untuk kejohanan itu.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top