Buletin

Rakyat bayar RM2.05 sedangkan kos sebenar cecah RM3.70 pada Mac

Rakyat Malaysia pada masa ini hanya membayar RM2.05 seliter untuk petrol RON95 tetapi kos sebenar dalam bulan Mac telah mencecah RM3.70 seliter untuk petrol tersebut.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkembangan terbaharu itu menunjukkan kerajaan terpaksa menampung perbezaan sebanyak RM1.65 bagi setiap liter.

Menurutnya, subsidi kerajaan adalah sehingga 45 peratus daripada jumlah keseluruhan yang perlu dibayar pengguna setiap kali mereka mengisi petrol.

“Sebagai contoh, setiap kali kita pergi ke stesen pam minyak dan kita mengisi minyak dengan nilai RM100 atau kira-kira 49 liter, jumlah yang dibayar oleh Kerajaan adalah sebanyak RM81 kerana jumlah kos sebenar berdasarkan harga pasaran adalah RM181 bagi 49 liter RON95.

“Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter di stesen minyak sementara kos sebenar telah juga melebihi RM4.00 seliter.

“Jurang besar antara harga runcit di stesen minyak berbanding harga pasaran sebenar akan mengakibatkan risiko ketirisan subsidi yang lebih tinggi disebabkan aktiviti penyeludupan keluar produk petroleum,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH – Bukit Bendera) yang bertanya sama ada satu penyelarasan program subsidi petrol, diesel dan LPG perlu diadakan atau tidak apatah lagi kini dengan adanya krisis Rusia dan Ukraine.

Tambah Tengku Zafrul, pergolakan antara Rusia dan Ukraine menyebabkan harga minyak mentah dunia naik mendadak ke paras melebihi AS$100 setong iaitu paras tertinggi sejak 2014.

“Dengan kenaikan ini, dijangka jumlah subsidi petrol, diesel dan LPG akan melebihi RM2.5 bilion sebulan.

“Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi USD100 setong, jumlah subsidi tersebut bagi keseluruhan tahun 2022 dijangka mencecah RM28 bilion, berbanding RM11 bilion bagi tahun 2021,” ujarnya.

PALING POPULAR

To Top