Umum

MPT Bersatu membuat perubahan kepimpinan 2 negeri, setuju pinda perlembagaan parti

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah membuat perubahan kepimpinan parti termasuk ketuanya di Selangor dan Negeri Sembilan.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Negeri Sembilan yang sebelum ini diterajui oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan digantikan dengan Mohamad Hanifah Abu Bakar manakala Selangor yang sebelumnya diterajui Datuk Abdul Rashid Asari digantikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tambahnya, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Ahad juga telah melantik 3 ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

“Beberapa lantikan Pengerusi Biro baharu juga telah dilunaskan iaitu Datuk Dr Radzi Jidin (Biro Ekonomi), Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Biro Antarabangsa), Datuk Azman Nasrudin (Biro Pendidikan) dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Biro Latihan).

“Fadzillah Mohd Pilus pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, mesyuarat juga bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.

Selaras dengan ketegasan itu katanya, MPT juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang pada masa hadapan.

“Dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, MPT juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden.

“Ia bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” jelasnya.

PALING POPULAR

To Top