Umum

Remaja OKU meninggal beberapa hari dalam bilik tanpa disedari ahli keluarga

Gambar Hiasan

Mayat seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 15 dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu dalam sebuah bilik di rumah keluarganya di Kampung Padang Tenggala, Temerloh pada Selasa lalu.

Abangnya yang berusia 17 tahun hanya menyedari kejadian tersebut sekitar jam 10.30malam setelah melihat adiknya itu terbaring kaku di dalam bilik.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, kejadian telah dimaklumkan kepada nenek mereka, yang kemudiannya menghubungi anak saudaranya untuk melihat keadaan mangsa.

Anak saudaranya, 60, yang juga merupakan pengadu, terhidu bau busuk setelah sampai ke rumah demikian, lalu ke balai polis untuk membuat laporan.

“Ekoran laporan itu, pemeriksaan telah dilakukan membawa kepada penemuan mayat remaja berkenaan.

“Siasatan mendapati, mangsa merupakan OKU autisme dan dikurung dalam sebuah bilik tanpa dikunci oleh ibunya kerana berkelakuan agresif.

“Mangsa tinggal bersama ibu berusia 44 tahun, abang dan seorang adik lelaki di rumah itu selepas kematian bapa pada Mei lalu,” katanya.

Yahaya berkata, kehidupan mereka dipercayai tidak terurus selepas kematian ketua keluarga.

“Difahamkan ibu mereka mengalami tekanan perasaan sejak kematian suami namun tidak dirujuk kepada pihak hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) Temerloh untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut bagaimanapun pihak polis menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa untuk tindakan lanjut,” katanya.

 

 

PALING POPULAR

To Top