Umum

Remaja perempuan hilang dari inap desa ditemui selamat, ‘diculik’ kerana cinta

Polis menahan tiga individu termasuk teman lelaki remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari inap desa di Taman Salak Maju di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 9 malam, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia 18 dan 19 tahun di sebuah unit kondominium di Seksyen 13, Shah Alam.

“Dalam serbuan ini, polis turut berjaya menyelamatkan mangsa di unit tersebut.

“Kami turut menahan seorang lagi lelaki dipercayai teman lelaki remaja berusia 21 tahun dalam satu lagi serbuan susulan kira-kira pukul 9.30 malam di sebuah pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Wan Kamarul Azran berkata, berdasarkan siasatan awal, kedua-dua suspek lelaki mengaku terlibat dalam kes itu, sementara suspek wanita pula tidak mengaku terbabit dalam kes itu dan hanya berada bersama dua suspek lelaki serta mangsa di lokasi tangkapan.

Menurutnya, mangsa berkenalan dengan teman lelakinya menerusi Instagram sejak tiga tahun yang lalu.

“Kami percaya motif kejadian adalah disebabkan cinta,” ujarnya.

“Mereka (kedua-dua suspek lelaki) juga mengaku menaiki motosikal bersama ke kawasan berdekatan dengan inap desa itu untuk berjumpa dengan mangsa,” jelasnya.

Wan Kamarul Azran menambah, teman lelaki remaja tersebut kemudian bersama mangsa menaiki kenderaan e-hailing manakala seorang lagi suspek lelaki menaiki motosikal pulang ke rumah mereka di Seksyen 13, Shah Alam.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 361 Kanun Keseksaan kerana menculik.

Jika sabit keslahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Sebelum ini, remaja perempuan, Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dilaporkan hilang selepas keluar dari sebuah inap desa di Taman Salak Maju pada 25 Disember lalu.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top