Umum

‘Rindu harga ayam yang dulu’

Harga sekilogram ayam yang masih tidak menentu bukan saja membebankan pengguna tetapi juga peniaga makanan.

Peniaga makanan di daerah ini mendakwa dalam tempoh seminggu, sekurang-kurangnya empat kali harga sekilogram ayam akan berubah dan keadaan itu menyukarkan mereka membuat pengiraan kos.

Malah untuk lebih jimat, mereka membeli ayam di pasar raya kerana ia lebih murah berbanding yang dijual di pasar harian.

Peniaga nasi lemak ayam, Azniza Aziz, 31, berkata, jika di pasar raya, dia masih boleh membeli ayam dengan harga RM9.20 ke RM9.50 sekilogram berbanding di pasar harian yang mencecah sehingga RM11 sekilo.

“Bukan saja untuk berniaga, tapi untuk makan di rumah pun saya akan beli ayam di pasar raya kerana harganya lebih murah.

“Sekarang ini kita betul-betul kena berjimat. Sudah semestinya sebagai peniaga kita nak untung, tetapi tidaklah sehingga membebankan pelanggan,” katanya.

Ujarnya, masyarakat sangat menanti-nantikan jalan penyelesaian daripada kerajaan berhubung harga ayam kerana dilihat tidak berkesudahan.

“Nak dapat harga sekilogram ayam macam dulu yang kurang RM8 memang mustahil, tapi setidak-tidaknya turunlah ke paras yang tidak membebankan orang ramai,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top