Umum

Ringgit berpotensi merosot ke paras RM5 berbanding dolar AS?

Prestasi ringgit yang lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak kebelakangan ini mencetuskan kebimbangan kerana terus berlegar menghampiri paras terendah apabila mata wang tempatan itu melebihi paras RM4.60 pada awal minggu ini.

Pada petang 1 Jun lalu ringgit berada pada paras  4.6110/6165, menyaksikan penyusutan empat hari berturut-turut sebelum ia kembali melantun pada Jumaat untuk ditutup kukuh sedikit pada 4.5745/5785 berbanding dolar AS.

Prestasi merudum ini membuatkan ramai berasa kurang senang dan mula mempersoalkan kemungkinan mata wang tempatan itu jatuh melebihi paras RM5 berbanding dolar AS.

Ringgit mencecah paras terendah dalam sejarah pada 4 November tahun lalu apabila ia berada pada RM4.7465, merosot melangkaui paras RM4.7250 yang direkodkan pada 7 Januari 1998 ketika negara berdepan krisis kewangan Asia.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, baru-baru ini menjelaskan prestasi ringgit yang merosot itu adalah disebabkan ketidaktentuan ekonomi dan kewangan di AS, namun jawapan yang diberi itu tetap menerima kecaman ramai terutama di media sosial apabila orang ramai menggesa ahli Parlimen Pandan itu untuk mencari jalan penyelesaian.

Ini kerana, Rafizi yang juga timbalan presiden PKR semasa berada di blok pembangkang aktif mengkritik pentadbiran lalu mengenai prestasi ekonomi serta ringgit dan sering mengaitkan kejatuhan kedua-dua itu dengan prestasi menteri atau kerajaan.

Menjelaskan mengenai situasi naik turun ringgit, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pengukuhan atan penyusutan mata wang tempatan itu sebenarnya ditentukan oleh kuasa pasaran yang didorong oleh permintaan.

Beliau berkata, tidak mustahil untuk ringgit melebihi paras RM5 berbanding dolar AS sekiranya kuasa pasaran menentukan begitu.

“Hakikat pengukuhan atau penyusutan ringgit ditentukan oleh pasaran,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Jadi persoalan, adakah ia boleh mencecah RM5 bagi setiap unit dolar AS? Jika kuasa pasaran yang tentukan sudah pasti ia sesuatu yang boleh berlaku.

“Cuma, kita risau impaknya. Apabila (ringgit) semakin lemah, maka inflasi yang diimport itu lebih banyak lagi.”

Mengulas mengenai prestasi semasa ringgit, Afzanizam menjangkakan prestasi merudum itu adalah bersifat jangka pendek yang mana ia disebabkan faktor luaran.

Katanya, sebab utama yang mempengaruhi kejatuhan ringgit didorong hasil perbincangan mengenai had siling hutang kerajaan AS yang mana keputusannya dianjak daripada 1 Jun kepada 5 Jun depan.

“Justeru, perkembangan terkini mengenai tarikh itu mengundang kegusaran di pasaran.

“Apabila berlaku isu-isu ketidakpastian, peserta pasaran akan cenderung untuk memegang dolar AS sekali gus mendorong permintaan ringgit terhadap mata wang itu,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Afzanizam berkata, prestasi ringgit kembali melantun pada Jumaat apabila undian di peringkat Dewan Perwakilan AS meluluskan Rang Undang-undang (RUU) siling hutang itu, menunjukkan berlaku perkembangan positif berhubung perkara itu.

Katanya, situasi ini menimbulkan keyakinan yang lebih baik dan meningkatkan selera risiko pelabur terhadap mata wang lain termasuk ringgit.

Menurut Afzanizam, perkembangan itu hanya akan mempengaruhi prestasi ringgit bagi jangka pendek, manakala jangka panjang lebih menyentuh kepada dasar dan komitmen kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara akan berada pada prestasi terbaik.

“Untuk pastikan nilai ringgit terus mengukuh, kerajaan perlu tunjukkan komitmen untuk membuat reformasi ekonomi yang akan membuah hasil lebih dinamik serta mendorong keuntungan syarikat-syarikat senarai awam ke tahap lebih baik,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan perlu memastikan naratif positif itu diteruskan dan diterjemahkan dengan pelaksanaan dasar yang membantu ke arah tersebut bagi meningkatkan keyakinan pelabur untuk memegang aset di Malaysia.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top