Umum

RM155 juta peruntukan subsidi di Lembah Klang, orang Pengkalan Hulu dapat apa? – Muda Perak

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak pada Khamis mempersoalkan peruntukan subsidi sebanyak RM155 juta kepada pengangkutan awam di bawah RapidKL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Lembah Klang.

Pengerusinya, Mutalib Uthman berkata, kemudahan pengangkutan awam adalah perkara asas yang diperlukan oleh masyarakat dan bukan hanya khusus digunakan oleh penduduk sekitar Lembah Klang semata-mata.

Tegasnya lagi, mengambil contoh di Perak, dia mendakwa kerajaan negeri mahu pun Persekutuan langsung tidak memandang serius berhubung isu pengangkutan awam.

“Muda menyambut baik perkhidmatan percuma yang diumumkan Perdana Menteri.

Namun angka peruntukan sebesar RM155 juta tersebut wajar digunakan secara pragmatik (cekap, praktikal).

“Mungkin Perdana Menteri tidak mengetahui bahawa terdapat ramai pengguna perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS) dari Ipoh yang berulang alik ke Kuala Lumpur setiap pagi dan malam.

“Lihat sahaja tiket ETS KTMB jam 5.10 pagi yang sentiasa penuh ditempah oleh pengguna tetap yang berulang alik Ipoh-Kuala Lumpur setiap hari,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mutalib turut mempersoalkan mengapa peruntukan itu tidak digunakan untuk menaiktaraf perkhidmatan awam di seluruh negara.

Tambahnya, pengangkutan awam di kebanyakan daerah negeri ini juga tidak efisien, malah ada langsung tiada kemudahan itu yang menghubungkan kawasan berdekatannya.

“Tahun lalu kerajaan negeri ada mengumumkan perancangan mewujudkan Transit Aliran ringan (LRT) di Ipoh bagi menghubungkan bandar-bandar kecil di sekitarnya, namun masih tiada sebarang perkembangan sehingga kini.

“Tidak perlu kita bicara mengenai kawasan luar bandar seperti Pengkalan Hulu, lihat sahaja di Tambun, iaitu sebuah kawasan membangun dalam Ipoh misalnya.

“Akses pengangkutan awamnya masih di peringkat yang amat mendukacitakan. Setiap hari kawasan Tambun begitu sesak dengan ratusan kereta yang melalui jalan utamanya.

“Ketahuilah, bahawa rakyat Malaysia bukan di Lembah Klang semata. Pengkalan Hulu di sempadan sana juga masih rakyat Malaysia yang perlukan kemudahan pengangkutan awam,” katanya lagi.

Justeru pihaknya berharap supaya kawasan lain tidak dipinggirkan daripada menerima limpahan peruntukan tersebut.

“Sudahlah jurang digital semakin melebar saban hari, apakah kawasan selain lembah klang wajar dianak-tirikan dengan jurang pengangkutan awam?” tanya beliau.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM155 juta bagi memberikan perkhidmatan percuma kepada pengangkutan awam di bawah RapidKL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Lembah Klang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan tersebut membolehkan penumpang di dua perkhidmatan itu menikmati kemudahan tersebut selama sebulan.

PALING POPULAR

To Top