Buletin

Rosmah hadir prosiding rayuan hari ini

Selepas gagal menghadiri prosiding di Mahkamah Rayuan pada 2 Dis lepas, Datin Seri Rosmah Mansor akhirnya tiba di Istana Kehakiman pagi ini.

Beliau tiba di perkarangan bangunan kira-kira 8.50 pagi dan terus masuk ke Mahkamah Rayuan 3, bagi meneruskan perbicaraan yang dijadual bermula 9 pagi.

Media sebelum ini melaporkan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Hanipah Farikullah memutuskan untuk menahan sementara waran tangkap ke atas isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Rosmah berkemungkinan dikenakan waran tangkap ekoran kegagalannya hadir bagi membatalkan perbicaraan di Mahkamah Tinggi berhubung kes rasuah projek solar hibrid.

Selain itu, Rosmah juga telah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram dari menjadi Ketua Pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.

Pada 2 Dis lepas, Gopal dilaporkan telah memohon mahkamah untuk mengenakan waran tangkap ke atas Rosmah, selain membatalkan wang jaminan RM1 juta.

Namun Hanipah berkata, panel tiga hakim memutuskan untuk menerima rayuan peguam bela, Datuk Jagjit Singh, bahawa pihak pembelaan ‘terlepas pandang’ dalam memberi nasihat kepada anak guam mereka.

Jagjit dilaporkan berkata, Rosmah ketika itu masih berada di Singapura bersama Najib, untuk menyambut kelahiran cucu mereka, biarpun beliau harus kembali ke negara ini pada 21 Nov lepas dan memulangkan pasport selewat-lewatnya hari ini.

“Kami telah mempertimbangkan cadangan responden agar perayu (Rosmah) dikenakan waran tangkap, namun kami juga mengambil kira hujah peguam bela bahawa situasi ini berlaku kerana pembelaan terlepas pandang dalam menasihati perayu berhubung kehadirannya hari ini.

“Kami juga mengambil maklum bahawa perayu tidak pernah gagal untuk hadir pada perbicaraannya di Mahkamah Tinggi.

“Oleh itu, dengan menggunakan budi bicara kami agar waran tangkap terhadap perayu ditahan (withhold) pada peringkat ini dan perayu diberi peluang untuk hadir,” Hanipah dipetik berkata Utusan Malaysia.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top