Umum

Rosmah dibenar dapatkan sementara pasport lawat cucu sakit

Datin Seri Rosmah Mansor dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa, untuk mendapatkan sementara pasport, bagi melawat cucunya yang sakit di Singapura.

Tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah memutuskan, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu boleh mendapatkan semula pasportnya bermula Khamis ini hingga 5 Mei depan.

Ketika bersidang, hakim-hakim memerintahkan dokumen perjalanan berkenaan dipulangkan semula kepada mahkamah pada 10 Mei.

Peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah berkata, anak guamnya membuat permohonan berkenaan untuk melawat anak perempuan, menantu dan dua cucu lelaki termasuk seorang yang sakit.

“Rosmah memohon untuk ke Singapura pada Khamis ini dan pulang semula ke Malaysia, enam minggu kemudian.

“Saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan permohonan itu dan pasport dipulangkan seminggu selepas anak guam pulang dari Singapura,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Poh Yih Tinn, mengesahkan perkara berkenaan.

“Saya mohon pasport Rosmah dipulangkan semula ke mahkamah pada 10 Mei depan,” katanya.

Pada 1 September 2022, Hakim, Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhi hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta selepas Rosmah, 72, didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 11 hingga 14 Julai ini.

Rosmah yang memfailkan petisyen rayuan pada 13 Oktober lalu, mengemukakan 127 alasan antaranya mendakwa keseluruhan keputusan Mohamed Zaini berat sebelah dan tidak berlandaskan pertimbangan betul.

Wanita itu turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai dihadapi Rosmah ditetapkan selama 15 hari antara 12 Mei dan 8 September ini.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top