Umum

Sarawak sah terpilih jadi tuan rumah SUKMA 2024

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan negeri itu terpilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam satu mesyuarat mengenai penganjurannya baru-baru ini, dan Sarawak sememangnya sudah bersedia menjadi tuan rumah penganjurannya pada bila-bila masa.

“Kerajaan pusat telah meminta Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA 2024. Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Menteri Belia dan Sukan Sarawak) mewakili Sarawak (dalam mesyuarat itu),” katanya ketika di Majlis Penutupan Sukan Antara Yayasan Negeri Se-Malaysia (Pesaya) Kali Ke-14 Sarawak 2023 di sini malam tadi.

Pada 9 Feb lepas Abang Johari dilaporkan berkata Sarawak bersedia menggalas tanggungjawab untuk menjadi tuan rumah untuk sukan dwi tahunan itu dan meminta Kerajaan Persekutuan memaklumkan perkara berkenaan lebih awal, bagi memudahkan pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf kemudahan dan infrastruktur sukan sedia ada.

Sementara itu, Yayasan Sarawak dinobatkan sebagai juara keseluruhan Pesaya ke-14 dengan memperoleh 12 pingat emas, 9 pingat perak dan 3 pingat gangsa sekali gus menyumbangkan sejumlah 95 mata.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top