Satu letupan dipercayai berlaku di Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Jalan Sultan Salahuddin di mana kakitangan LPP terpaksa keluar dari bangunan tersebut.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Rusdi Ismail berkata, “Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dengan kekuatan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 2.09 petang kemudiannya menerima makluman awam berkaitan letupan di dalam bilik elektrik di salah satu tingkat di bangunan berkenaan,” katanya
Hasil pemeriksaan anggota bomba dan juru elektrik mendapati bahawa punca bunyi letupan dalam kejadian dipercayai daripada kebakaran kabel di bawah tanah bangunan itu dan kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu turut berada di lokasi kejadian di mana beliau sepatutnya menyertai sesi libat urus bersama media yang dijadualkan kira-kira jam 2.30 petang.