Umum

‘Saya tak masuk campur urusan pemilihan UMNO’ – Rosmah

“Saya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam UMNO dan begitu juga Datuk Seri Najib (Razak) , maka seharusnya saya tidak dipalitkan dengan sebarang isu semasa pemilihan ini,” katanya.

Dalam pemilihan UMNO kali ini, anak Rosmah dan Najib, Nooryana Najwa atau lebih dikenali sebagai Yana dipilih sebagai Ketua Puteri UMNO Lembah Pantai dan tersenarai calon menang dalam barisan jawatan EXCO Puteri.

Pemilihan kali ini adalah yang pertama menyaksikan pencalonan Yana selepas bapanya tidak lagi menjadi presiden parti itu.

Sementara itu, seorang anak lelaki Najib, Mohd Naziffuddin, yang merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO gagal dalam percubaan pertamanya itu.

Mohd Nazifuddin yang juga ahli UMNO Langkawi sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Mesyuarat perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli MKT UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada Sabtu ini.

Isteri bekas Perdana Menteri Keenam itu bagaimana pun tidak menafikan bahawa masih ramai ahli UMNO yang sayangkan kepada Najib sehingga sekarang, kerana mereka melihat atas segala jasa dan bakti beliau terhadap negara dan parti sejak berumur 23 tahun.

“Fokus saya ketika ini hanyalah untuk memperjuangkan keadilan buat suami saya serta menjaga kebajikan keluarga saya.

“Terlalu banyak dugaan sejak beberapa tahun ini yang perlu saya dan keluarga harungi, masakan pula saya mempunyai masa dan upaya untuk campur tangan dalam urusan pemilihan UMNO,” katanya.

Beliau menjelaskan sepanjang dugaan dan cabaran yang kami hadapi ini, masih ramai sahabat yang sentiasa setia bersama dan berjuang dengan mereka.

“Ada sahabat yang bertanding dalam pemilihan kali ini dan sudah tentu kami doakan yang terbaik buat mereka dan memberikan sokongan moral agar beroleh kemenangan.

“Semoga perwakilan menilai keikhlasan dan kesetiaan mereka yang boleh diterjermahkan kepada parti.

“Ada kawan-kawan yang setia dengan kami juga mengalami kekalahan, jika saya campurtangan bagaimana mereka ini semua boleh kalah,” katanya

Mengulas kemenangan Yana, katanya beliau tidak mempunyai apa-apa pengaruh yang menyumbang kepada kemenangan anaknya.

“Yana menang di atas kekuatan dan daya usaha dia sendiri.

“Bagi yang mengikuti perkembangan Yana, sejak Datuk Seri Najib dipenjara, beliau sudah merantau ke seluruh negara dan berjumpa dengan ahli-ahli UMNO di bawah yang mahu mendengar kisah dan perkembangan terkini mengenai bapanya.

“Sudah berbulan-bulan lamanya Yana turun padang dari Perlis sampai ke Sabah dan berjumpa dengan orang ramai, jika dihitung mungkin ribuan jumlahnya yang beliau bertemu muka dan menjalankan persahabatan terutamanya di kalangan pemimpin dan ahli Wanita, Puteri dan Ketua-Ketua Bahagian UMNO,” katanya.

Beliau turut berkongsi kegigihan Yana yang turun ke bawah untuk berkempen untuk berjumpa dengan hampir semua bahagian yang bersidang.

“Dari siang sehingga ke malam, tak berhenti sehinggakan Yana terpaksa meninggalkan anak-anaknya bersama saya malahan Adam pula sedang mengalami demam panas ketika itu.

“Sayalah yang susah hati siang dan malam menjaga Adam yang sedang sakit,” katanya

Beliau juga menegaskan,Yana menggunakan media sosial sebagai platform kempennya yang mendapat liputan dan sebaran luas dalam kalangan perwakilan.

“Jika saya masuk campur, adakah perlu untuk Yana bekerja sekeras ini.

Yana juga sentiasa mengikut segala nasihat daripada bapanya. Pesan Datuk Seri Najib pada Yana, kalau nak berpolitik perlu mula daripada bawah dan santuni rakyat serta ahli-ahli UMNO di semua peringkat daripada ahli biasa hinggalah kepada pimpinan, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top