Umum

Yasin derita tiriod, berat badan tinggal 48kg

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman memaklumkan dirinya kini menderita menghidap tiriod sejak lima bulan lalu.

Menurut Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, berkata dia menghidap penyakit tiroid sejak November lalu.

“Syukur apabila pihak penjara menyediakan ubat untuk merawat penyakit saya,” katanya ringkas.

Pada masa sama, penyanyi itu turut memaklumkan berat badannya kini turun 18 kilogram (kg) kepada 48kg sejak berada di dalam penjara.

Ujar Yasin meskipun keadaan fizikalnya begitu, dia tidak mahu ada orang beranggapan pihak penjara tidak memberinya makan yang cukup.

“Dipenjara makanan cukup…melimpah ruah di sana juga banduan-banduan gemuk pun ramai (berseloroh) jadi tiada isu kata saya tidak cukup makan…cuma badan saya sahaja tidak gemuk,” katanya lagi.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Yasin gagal lagi dalam permohonan representasi ketiganya di Mahkamah Sesyen di sini untuk mengkaji tiga pertuduhan dadah yang dihadapi.

Ini berikutan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan yang dikemukakan Yasin berhubung ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Semasa prosiding, peguam Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin memaklumkan jawapan mengenai keputusan representasi ketiga itu diterima pada Isnin lalu.

“Pihak kami telah terima jawapan berhubung representasi ketiga itu pada 13 Mac (Isnin) dan reprsentasi itu telah ditolak. Justeru pihak kami akan mengemukakan representasi keempat dalam masa terdekat dan memohon tarikh perbicaraan pada hari ini dan esok dilapangkan dan saya difahamkan pihak pendakwaan tiada bantahan,” kata peguam itu.

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Asnawi Abu Hanipah mengesahkan perkara itu dan tidak membantah untuk perbicaraan hari ini dan esok dilapangkan.

Justeru Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad kemudian menetapkan 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk sambung perbicaraan selain pihak-pihak perlu memaklumkan kepada mahkamah mengenai status representasi itu.

Dijangka 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.

Dalam representasi tersebut, antaranya melibatkan dokumen-dokumen perubatan yang agak komprehensif bagi menyokong permohonan agar pertuduhan terhadapnya dikaji.

Selain itu representasi itu turut mengandungi rawatan yang diperlukannya, alasan kemanusiaan, rayuan melibatkan keluarga dan keadaan terkini Yasin.

Mengikut pertuduhan baharu itu, Yasin didapati dalam milikannya dadah berbahaya jenis kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu (2022).

Bagi kesalahan itu, Yasin yang mengaku tidak bersalah didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Sementara itu bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama yang mana pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 15 (1) akta yang sama. – KOSMO! ONLINE

PALING POPULAR

To Top