Umum

Sekarang bukan masa sesuai mengadakan PRU-15, fokus banjir: Muhyiddin

Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tidak sesuai diadakan pada masa terdekat kerana masih banyak perkara penting yang perlu difokuskan kerajaan khususnya dalam menangani masalah dihadapi rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata menteri daripada gabungan itu sudah menyatakan pendirian semasa mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu agar kerajaan menumpukan kepada isu besar yang bakal dihadapi negara terutamanya bencana banjir yang dijangka melanda pada hujung tahun ini.

“Kita sudah buat persiapan untuk menghadapi pilihan raya walaupun pimpinan kita memberi pandangan kepada rakan-rakan kita yang ada dalam Jemaah Menteri, masa belum sesuai kerana keadaan masih banyak yang memerlukan perhatian kita.

“seboleh mungkin tidak diadakan dalam tempoh yang terdekat ini, sekarang bukan masa yang sesuai… bila sampai masa kita hadapi pilihan raya,” katanya semasa ditemui media pada Majlis Ulangtahun Bersatu hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata pendirian itu dinyatakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu isu banjir dan kebajikan rakyat seharusnya menjadi keutamaan dan bukan dengan tergesa-gesa mengadakan PRU-15 sehingga menyusahkan rakyat.

“Tak lama lagi nak banjir, itu harus menjadi fokus… ini telah pun saya maklumkan pada ahli-ahli jemaah menteri daripada daripada Bersatu dalam Perikatan Nasional, pendirian kitalah dan saya harap ini akan diberikan perhatian,” katanya lagi.

Terdahulu, PN dalam satu kenyataan hari ini berkata semua Jemaah Menterinya tidak bersetuju jika PRU-15 diadakan semasa musim banjir.

Jelasnya lagi, sebarang keputusan tarikh berhubung PRU-15 perlu dibincangkan dalam Kabinet dan tidak dibuat hanya atas permintaan oleh individu tertentu yang mempunyai kepentingan peribadi sendiri.

Dalam pada itu, Muhyiddin menggesa supaya semua ahli-ahli Bersatu untuk terus memberi komitmen membantu rakyat yang memerlukan perhatian dan bantuan akibat kesempitan hidup yang mereka alami.

Jelasnya, usaha dilakukan masih tidak memadai dan memerlukan satu tindakan yang segera bagi mengelak negara terjerumus dalam kancah yang lebih buruk lagi.

“Peringatan saya tentang isu-isu soal kemiskinan yang melanda negara, soal bantuan kepada rakyat yang memerlukan makanan dan lain-lain masalah.

“Ini harus terus menjadi perhatian oleh ahli-ahli parti dan pemimpin parti kita di semua peringkat di seluruh negara… Kerana saya dapati bahawa walaupun ada apa-apa usaha dibuat oleh kerajaan tidak memadai masih banyak perlu dilakukan dan situasi tidak bertambah baik.

“Ramalan menunjukkan tahun hadapan situasi akan bertambah lebih buruk, jadi kalau tak ada satu sense of urgency iautu kesegeraan untuk menangani isu sebegini kemungkinan besar keadaan akan bertambah lebih teruk.

“Sebab itu saya sudah menyuarakan mengatasi masalah ini, terserah kepada kepimpinan negra untuk menangani dan mengatasi masalah ini,” katanya lagi.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top