Umum

Selangor anjur Festival Kampung Baru tonjol kepelbagaian produk, etnik Cina

Kerajaan Selangor menganjurkan Festival Kampung Baru Negeri Selangor bagi memperkenalkan keunikan setiap kampung baru yang ada di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata festival yang pertama kali diadakan itu diharap dapat memberi motivasi kepada kampung baru yang lain untuk terus membaik pulih serta meningkatkan program di kawasan masing-masing.

“Secara keseluruhan di Selangor, kita ada 77 kampung baru tetapi pada hari ini kita memperkenalkan 12 yang mempunyai ciri-ciri tertentu seperti mempunyai produk yang tersendiri, kepimpinan yang baik dan infrastruktur yang baik.

“Ini akan menjadi pencetus kepada kampung yang lain untuk membaik pulih kemudahan yang sedia ada serta mengadakan program serta ekonomi di kampung mereka,” katanya ketika meninjau Festival Kampung Baru Selangor 2023 di Piazza Pavilion Bukit Jalil di sini, hari ini.

Festival ini diadakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi di kampung baru menerusi pelbagai perancangan seperti mempromosikan produk yang berkualiti, sektor pelancongan, dan mencantikkan kampung.

Festival yang berlangsung mulai semalam hingga esok dijangka menarik sehingga 10,000 pengunjung.

Yang turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam dan Kampung Baru Negeri Selangor, Ng Sze Han dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Sze Han berkata, kampung baru bukanlah satu kampung yang menjadi peninggalan sejarah dan juga masa silam tetapi menjadi satu tempat yang dapat menghasilkan produk unik yang tidak boleh didapati di tempat lain.

“Kampung baru adalah tempat yang menghasilkan produk bersejarah di Malaysia. Di sini, kaum Cina daripada pelbagai etnik, tinggal bersama-sama dalam keadaan harmoni. Tiada tempat lain di dunia yang ada ‘produk’ seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berharap, peruntukkan tambahan RM35 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi memperluas pelaksanaan program Kita-Untuk-Kita (K2K) melibatkan 10 PPR sekitar Kuala Lumpur dan Selangor akan memberi manfaat kepada masyarakat berbilang kaum di negeri itu.

“Sebahagian besar PPR ada di Selangor iaitu sebanyak enam buah PPR yang dihuni oleh 60 sehingga 70 peratus masyarakat melayu.

“Kerajaan Selangor akan meneliti perkara yang perlu diberi keutamaan bagi memberi manfaat kepada penduduk negeri ini,” katanya.

Pagi tadi, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM35 juta bagi melaksanakan Program K2K, sekali gus memperkasakan lagi komuniti perumahan awam bandar sekitar Lembah Klang.

Program K2K bertujuan membina kapasiti dan memperkasa peranan komuniti untuk menggalas tanggungjawab bersama terkait hal pengurusan bangunan, persekitaran serta pengisian termasuk bantuan memasarkan pengeluaran hasil perniagaan di kawasan perumahan awam.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top