Umum

‘Selesai pilihan raya dahulu, baru fikir gabungan’ – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu memberikan tumpuan terlebih dahulu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum memikirkan kerjasama antara parti gabungan bagi membentuk kerajaan.

Beliau berkata, ini kerana ia sesuatu di luar jangka namun tidak menolak kemungkinan perkara tersebut boleh berlaku.

Bagaimanapun, menurut beliau, PN berharap akan berlaku satu gelombang baharu yang akan membersihkan negara daripada ‘sampah-sarap politik’ dengan menyingkirkan BN mahupun Pakatan Harapan (PH).

“Pendirian PN ialah kita selesaikan dahulu PRU15, apa yang berlaku ke hadapan, kita tak tahu. Jadi sebaik mungkin, kita berjuang berhabis-habisan dengan harapan beroleh sokongan besar pengundi untuk membentuk kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas program sembang santai bersama masyarakat Jitra di Medan Selera Pekan Jitra Dua, di sini pada Selasa.

Hadir sama, calon PN bagi Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan mana-mana gabungan, sekiranya parti itu tidak dapat meraih majoriti mudah.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, ia terpulang kepada Ahmad Zahid kerana setiap parti mempunyai hak untuk merencanakan masa depan mereka.

“Ahmad Zahid bercakap seperti dia sendiri tidak yakin BN boleh membentuk kerajaan, tapi dia mahu bentuk kerajaan, itu hak dia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, tidak wujud krisis besar dalam PN selain semua isu yang menjadi pertikaian kalangan komponen gabungan tersebut berjaya diselesaikan.

“Kerjasama antara parti-parti komponen iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan cukup baik dan ada kerjasama yang jelas. Ini beri kekuatan kepada PN di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita tandingi,” ujarnya.

Menurutnya, hubungan baik antara kepimpinan tertinggi parti juga mengukuhkan lagi gagasan berkenaan untuk kekal stabil sekiranya berjaya mendirikan kerajaan sekali lagi.

“Kami tiada masalah, tidak ada perkara yang kami selindungkan. Tidak ada krisis besar melanda parti, sedikit sebanyak itu biasalah. Ini memberikan pandangan bahawa PN berpegang pada apa yang dijanjikan.

“Kami mahu bantu rakyat selain tampil bersih tanpa kes rasuah mahupun salah guna kuasa yang akan membangkitkan keyakinan pengundi bahawa PN pilihan terbaik,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top