Umum

Seremban ke6 tertinggi kes penipuan dalam talian

Seremban daerah keenam tertinggi membabitkan kes penipuan dalam talian sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2024.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, Seremban merekodkan 701 kes manakala Nilai juga mencatatkan rekod membimbangkan dengan 434 kes di kedudukan ke-15 dalam negara.

Beliau berkata, sebanyak 1,710 kes membabitkan penipuan dalam talian dicatatkan dengan nilai kerugian RM47.1 juta di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 2,024 kes penipuan melibatkan kerugian sebanyak RM40.9 juta tahun lalu.

Walaupun jumlah kes penipuan ini menunjukkan penurunan sebanyak 18%, tetapi jumlah kerugian dialami tinggi iaitu meningkat lebih daripada RM6.2 juta yang menggambarkan bahawa kes seumpama ini masih membimbangkan, katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada Program Townhall Discussion, Cybercrime Threat#Saynotoscam peringkat kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban.

Dzaffir berkata, masyarakat dinasihatkan lebih berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan setiap panggilan diterima kerana kumpulan sindiket penipuan akan memanipulasi mangsa sehingga membuatkan seseorang itu panik sebelum terpedaya dengan tipu helah mereka.

“Orang ramai jangan mudah terpedaya dengan sebarang tawaran lumayan di dalam media sosial, sentiasalah mengambil tahu prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan berkaitan transaksi urusan bank atau urus niaga dalam talian.

Kita perlu sentiasa ingat, pihak berkuasa tidak akan berurusan melalui panggilan telefon, katanya.

Beliau berkata, masyarakat dinasihatkan lebih peka dan mengamalkan sikap semak dan tanya dalam urusan yang tidak pasti bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

PALING POPULAR

To Top