Sejak beberapa hari lalu, beberapa tokoh pembangkang mengakui sudah ada pertemuan dan komunikasi ke arah kerjasama politik di antara mereka dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin.
Paling awal berkompang membuka mulut ialah Presiden Pejuang, Muhkriz Mahathir dikuti bapanya, Mahathir Mohamad sehari selepas itu.
Mahathir juga mengambil peluang itu untuk memperlekehkan Muhyiddin, kononnya bekas Perdana Menteri Ke-8 itu terdesak sehingga merayu sokongannya untuk kembali menduduki kerusi Perdana Menteri.
Dakwaan Mahathir itu jika diperhalusi, bukan sahaja janggal malah agak lucu dan tidak masuk akal kerana senarionya boleh diibaratkan seperti seekor kucing yang merayu kepada seekor tikus.
Adalah tidak lojik untuk seorang pengerusi sebuah gabungan politik yang lebih kuat dan besar merayu sokongan daripada sebuah parti yang bukan sahaja kerdil, malah sangat kecil keahliannya.
Ya, kita akui Mahathir satu nama besar tetapi pesonanya sudah malap sehinggakan Pejuang hilang deposit di semua 42 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Malah Pejuang yang berselera besar ternyata lemas ke dasar laut yang paling dalam apabila hanya meraih 18,692 undi dari 42 DUN itu.
Untuk perbandingan, calon muka baharu daripada DAP, Marina Ibrahim memenangi DUN Skudai dengan 26,359 undi, jauh lebih besar daripada undi terkumpul Pejuang di seluruh Johor.
Begitulah kelicikan politik Mahathir, walaupun taringnya sudah tumpul, beliau tetap cuba menanam persepsi kononnya masih kuat, relevan dan diperlukan.
Akhirnya, pembohongan Mahathir terburai kerana yang sebenarnya merayu-rayu untuk bertemu dengan Muhyiddin sejurus kekalahan memalukan partinya pada PRN Johor adalah beliau sendiri.
Turut membuka mulut adanya komunikasi dengan Muhyiddin melalui panggilan telefon ialah Presiden Warisan, Shafie Apdal.
Tidak seperti Mahathir, Shafie lebih ‘cool’ apabila menyatakan beliau menolak untuk bekerjasama dengan Muhyiddin, namun masih membuka ruang kerjasama dengan parti lain.
Cuma media yang berlebihan menambah rencah kononnya Muhyiddin terdesak apabila menghubungi Shafie. Ia tidak keluar secara verbatim dari mulut bekas Ketua Menteri Sabah itu.
Begitu juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim yang mengesahkan adanya perbincangan di antara PH dan PN, namun sikapnya lebih cermat apabila tidak mengambil peluang untuk menyerang sesiapa.
Baik Mahathir, Shafie atau Anwar, mereka sedia maklum hanya terdapat satu formula sahaja untuk menewaskan UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu dengan bekerjasama supaya tidak berlaku perpecahan undi sebagaimana PRN Melaka dan Johor.
Reaksi mereka terhadap perbincangan dan usaha untuk bekerjasama yang dirintis Muhyiddin hanyalah strategi politik supaya parti masing-masing mempunyai kuasa tawar menawar.
Ia sekadar episod ulangan kepada proses menjalinkan kerjasama di bawah payung PH menjelang PRU-14 yang akhirnya berjaya menewaskan rejim UMNO-BN dan Najib Razak.
Mesej yang lebih penting di sebalik pengakuan tiga tokoh politik berkenaan ialah sudah ada usaha dan perbincangan untuk bekerjasama walaupun laluannya berliku.
Ia merupakan petunjuk positif bagi pengundi termasuk golongan atas pagar yang mengharapkan pembangkang bersatu, namun menjadi igauan ngeri buat UMNO-BN.
Bukanlah rahsia betapa UMNO-BN amat mengharapkan PRU-15 diadakan segera sehinggakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dijadikan pentas untuk menekan Naib Presidennya yang juga Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob supaya membubarkan parlimen.
Bagi mereka, inilah waktu terbaik diadakan PRU-15 memandangkan parti lawan berada dalam keadaan lemah kerana masih belum mencapai kesepakatan untuk bekerjasama.
Bak kata Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan sewaktu merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO baru-baru ini: “Strike while your enemy is weak, strike while the iron is hot!”.
Terbuktilah yang terdesak bukannya, Muhyiddin, tetapi UMNO, BN dan kluster mahkamah.
Penulis adalah pembaca SatuBerita.