Umum

Siasatan kes dakwaan gangguan seksual Agus sudah selesai

Pihak polis menyatakan siasatan terhadap bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff berhubungan dakwaan melakukan gangguan seksual telah selesai.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zin, kertas siasatan kes itu sudah lengkap dan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada 18 Disember lalu.

Berita Harian melaporkan beliau berkata kertas siasatan itu masih dalam kajian dan semakan Jabatan Peguam Negara.

Pada 14 Disember lalu, Mohammad Agus dipanggil ke IPD Kajang untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap kakitangan J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, mengesahkan polis melakukan siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus dan Abdul Wahab yang dipercayai berlaku di sebuah hotel di Bintulu, Sarawak, 21 Oktober lalu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 377D akta sama atas kesalahan melanggar kesopanan.

Siasatan oleh pihal polis dijalankan selepas Abdul Wahab membuat laporan di Balai Polis Kajang bersama peguamnya, Faizal Abd Rahman 30 November lalu.

 

PALING POPULAR

To Top