Daging dan tulang lembu sejuk beku dengab anggaran nilai RM250,000 dari Australia dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Jumaat lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Mohd Sobri Md Hashim, rampasan seberat 1.780 tan itu dibuat susulan pemeriksaan pada jam 4 petang sebelum didapati mengemukakan dokumen sijil halal yang mengandungi maklumat mengelirukan.
“Semakan awal mendapati hasilan haiwan yang dibawa masuk oleh syarikat tempatan itu mempunyai permit import sah daripada Maqis.
“Namun, pemeriksaan lanjut mendapati tarikh penyembelihan dinyatakan dalam sijil halal tidak sama dengan yang tertera pada kotak dan pembungkus daging,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] kerana mengisytiharkan maklumat yang mengelirukan.
Katanya, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diberi perhatian di semua pintu masuk negara bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.
“Ini bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan,” ujarnya