Umum

Sime Darby jual Ramsay Sime Darby Health Care kepada Columbia Asia

Gambar Sime Darby

Sime Darby Bhd membuat keputusan untuk keluar daripada bidang perniagaan penjagaan kesihatan dengan menjual keseluruhan 50 peratus kepentingan ekuitinya dalam Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (RSDH) kepada Columbia Asia Healthcare Sdn Bhd (Columbia Asia) pada harga RM2.84 bilion.

Katanya anak syarikat milik penuh Sime Darby Holdings Bhd (SDHB) dan anak syarikat Ramsay Health Care Ltd, AH Holdings Health Care Pty Ltd, yang memiliki baki 50 peratus dalam RSDH, hari ini menandatangani perjanjian dengan Columbia Asia bagi melupuskan 100 peratus kepentingan dalam RSDH yang bernilai RM5.68 bilion.

“Hasil daripada pelupusan yang dicadangkan itu akan membolehkan Sime Darby dan anak-anak syarikatnya mengukuhkan lagi perniagaan terasnya iaitu perindustrian dan automotif dengan mengurangkan pinjamannya hasil daripada pengambilalihan UMW Holdings Bhd,” katanya.

Columbia Asia ialah syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia dan anak syarikat milik penuh Columbia Asia Healthcare Pte Ltd (CAHSG). Sebanyak 99.9 peratus dalam CAHSG dimiliki oleh HLT Healthcare Holdings Ltd, yang mana dimiliki bersama oleh konglomerat Malaysia, Hong Leong Group dan One Health Holdings, yang dimiliki dan dikawal oleh dana yang diuruskan oleh TPG.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson berkata walaupun perniagaan hospital adalah aset yang hebat, kumpulan itu sentiasa mengekalkan tumpuannya pada perniagaan teras iaitu automotif dan perindustrian.

Sementara itu, Pengarah Columbia Asia Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz berkata RSDH mempunyai platform hospital yang unik dengan sejarah panjang penjagaan pesakit yang sangat baik untuk komuniti di Malaysia dan Indonesia.

“Ini akan melengkapkan Columbia Asia, dan kami berharap dapat bekerjasama dengan barisan doktor, jururawat dan rakan sekerja lain daripada RSDH dan Columbia Asia untuk terus menyumbang kepada ekosistem penjagaan kesihatan di Malaysia, Indonesia dan Vietnam,” katanya.

RSDH mengendalikan empat hospital di Malaysia dan tiga hospital di Indonesia.

Menurutnya, hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bagi pemerolehan UMW Holdings Bhd dan/atau membiayai perbelanjaan tunai bagi tawaran am mandatori pengambilalihan itu.

PALING POPULAR

To Top