Umum

SPRM tidak berhasrat wujud garis panduan berkaitan pemberian bantuan pilihan raya

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berhasrat mewujudkan garis panduan baharu berhubung pemberian bantuan semasa pilihan raya, kata Ketua Pesuruhjaya Azam Baki.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan pemakaian kamera badan (BWC) dan jaket SPRM di Putrajaya hari ini, beliau berkata ini kerana peruntukan “do and don’t” berkaitan pilihan raya adalah jelas termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ada undang-undang, Seksyen 10 di bawah akta itu jelas tentang ‘do and don’t’ yang perlu dipatuhi oleh setiap calon pilihan raya,” katanya mengulas cadangan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man agar satu garis panduan khusus dikeluarkan berhubung pemberian bantuan semasa pilihan raya.

Tuan Ibrahim dilaporkan berkata garis panduan tersebut penting agar semua pihak mengetahui bentuk bantuan yang dibenarkan sepanjang pilihan raya.

Ditanya mengenai perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu pada 12 Ogos, Azam berkata setakat ini SPRM belum menerima apa-apa laporan berkaitan rasuah. 

“Ikut pengalaman lepas kami telah buat pemerhatian, biasa sehari dua belum ada lagi (laporan berkaitan rasuah),” katanya.

SPRM melancarkan tujuh bilik gerakan sempena PRN dan PRK iaitu di Ibu Pejabat SPRM, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang dan Terengganu yang akan beroperasi selama 24 jam bermula 29 Julai sehingga 12 Ogos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRN dan PRK Kuala Terengganu dijalankan serentak iaitu pada 12 Ogos manakala pengundian awal berlangsung 8 Ogos.

Sumber: Malaysianow

PALING POPULAR

To Top