Umum

Stadium 974 kontena ditanggalkan selepas Piala Dunia Qatar

STADIUM 974 di wilayah Ras Abu Aboud, Doha venue perlawanan pusingan 16 Qatar 2022, Brazil dan Korea Selatan yang diperbuat daripada 974 kontena kitar semula akan ditanggalkan selepas Piala Dunia.

Stadium modular dalam kelas tersendiri ini yang menampung kapasiti 40,000 penonton telah menyajikan kepada komuniti bola sepak dunia tujuh perlawanan sehingga kelompok 16 terbaik – Selecao kendalian Tite berdepan jagoan Asia, Taegeuk Warriors pimpinan Paulo Bento.

Venue itu dinamakan Stadium 974 kerana ia adalah jumlah kontena perkapalan yang digunakan untuk membina tempat tersebut selain merupakan kod panggilan antarabangsa negara Teluk berkenaan.

Menurut FIFA, arena itu adalah stadium pertama dunia yang boleh ditanggalkan sepenuhnya dan digunakan semula selepas acara.

Bercakap tentang struktur uniknya, halaman rasmi Qatar 2022 di stadium itu penganjur berkata: “Tempat unik ini memberi penghormatan kepada tradisi perdagangan dan pelayaran dunia yang telah lama wujud di Qatar.

“Bukan sahaja 974 kod panggilan antarabangsa untuk Qatar, tetapi ia juga merupakan jumlah kontena perkapalan yang digunakan dalam pembinaan stadium itu.

“Terletak di kawasan tepi pelabuhan dan melihat pemandangan bandar pantai Doha, peminat di Stadium 974 akan merasai angin sejuk dari Teluk Arab.”

Namun jika terdapat peminat berpeluh luar biasa, ia disebabkan pelan tempat duduk, yang tidak mempunyai penghawa dingin sebaliknya pengudaraan semula jadi.

Stadium 974 juga menerima penarafan lima bintang daripada Sistem Penilaian Kelestarian Global (GSAS) untuk reka bentuk dan pembinaannya.

Pakar kelestarian bandar dan iklim, yang bekerja sebagai perunding untuk kejohanan itu, Karim Elgendy, memuji arena tersebut kerana reka bentuknya melangkau ke hadapan.

“Mereka bentuk untuk ditanggalkan adalah salah satu prinsip utama bangunan lestari…

“Ia membolehkan pemulihan semula jadi tapak bangunan atau penggunaan semula untuk fungsi lain,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan stadium itu akan ditanggalkan kemudiannya dihantar ke negara lain yang memerlukan infrastruktur tersebut.

Bagaimanapun, terdapat laporan lain bahawa stadium itu akan digunakan di Maldonado, Uruguay, untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 sekiranya bidaan negara tersebut menjadi tuan rumah berjaya. –Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top