Umum

Sudah dibatalkan lesen perniagaan, syarikat diserbu lagi jual kanta lekap tidak didaftarkan

Gambar Hiasan

Sebuah syarikat diserbu kerana masih menjual kanta lekap yang tidak didaftarkan walaupun sudah dibatalkan lesen perniagaannya November lalu.

Menurut Ketua Eksekutif Medical Device Authority (MDA), Dr Muralitharan Paramasua, pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu syarikat tersebut 6 bulan lalu.

Bagaimanapun, syarikat itu tetap menjual kanta lekap dan air pembersih kanta lekap yang tidak berdaftar.

Beliau berkata, sebanyak 150,000 kanta lekap pelbagai jenama tidak berdaftar dirampas dalam serbuan kali kedua pada 20 Mei lalu.

Ini rampasan terbesar dengan nilai anggaran berjumlah RM700,000.

“Ini kesalahan serius kerana menjual produk tidak berdaftar di bawah MDA dan boleh mendatangkan kecederaan kepada pengguna,” katanya dilaporkan Sinar Harian.

Tambah beliau, syarikat itu telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan menjual kanta lekap berdaftar bersama produk tidak berdaftar.

Disebabkan itu, pihak berkuasa tidak dapat mengesan kesalahan dilakukan, tetapi MDA mendapat maklumat orang ramai berhubung kegiatan mereka.

Beliau berkata, tanpa sebarang label pada produk dibawa masuk, syarikat itu akan meletakkan label dibuat sendiri.

“Harga kanta lekap tidak berdaftar yang dijual syarikat ini sekitar RM9 dan RM10. Ia jauh lebih murah daripada harga pasaran, namun tahap keselamatan dan ketulenan tidak dapat dipastikan kerana tidak didaftarkan dengan MDA,” ujar beliau.

 

 

PALING POPULAR

To Top