Umum

Sultan Johor dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal

Gambar FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Teknologi Kejuruteraan Mekanikal oleh Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM).

Menurut kenyataan di FB rasmi Tuanku Sultan Ibrahim, anugerah berkenaan sebagai menghargai sumbangan dan kecemerlangan Tuanku Sultan Ibrahim dalam kepemimpinan lestari Baginda kepada UTHM, Bangsa Johor dan negara.

Ijazah Kehormat Doktor Falsafah disampaikan DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang juga Canselor UTHM.

Majlis penganugerahan berlangsung pada sidang khas hari pertama Istiadat Konvokesyen Ke-23 di Dewan Sultan Ibrahim, Kampus UTHM, Batu Pahat, hari ini (2 Disember).

Berangkat sama, DYMM Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

DYMM Sultan Johor merupakan Canselor UTHM sejak tahun 2002 hingga 2022, sebelum DYAM Tunku Mahkota Johor dimasyhurkan sebagai Canselor UTHM yang baharu pada 3 Disember tahun lalu.

Manakala, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UTHM yang baharu pada tahun sama.

Selama hampir 20 tahun Baginda sebagai Canselor UTHM, DYMM Sultan Johor meletakkan nama universiti di persada antarabangsa melalui sokongan kewangan dan kerjasama bersama institusi pendidikan serta industri antarabangsa.

Baginda Tuanku Sultan Ibrahim juga memainkan peranan penting dalam pembangunan Johor dengan menonjolkan minat dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi kejuruteraan mekanikal.

Pada Ulang Tahun Ke-25 UTHM, Baginda memberikan sumbangan besar kepada universiti berkenaan dengan menyokong pengembangan program inovatif antaranya Aeronautik termasuk mengurniakan pesawat ‘Lake Renegade LA-270’ untuk kegunaan program berkenaan.

 

 

Sumber FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

PALING POPULAR

To Top