Umum

Suspek utama kes letupan di Pandan Indah diberkas

Polis memberkas sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam kejadian letupan di Pandan Indah di sini pada Khamis lalu.

Kedua-dua suspek berkenaan diberkas di sebuah rumah di Kedah, tengah malam Selasa.

Sepasukan anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya telah membawa kedua-dua suspek ke Mahkamah Majistret Ampang bagi mendapatkan perintah tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan.

Pada 29 Disember lalu, media melaporkan mangsa berusia 28 tahun maut selepas satu bungkusan yang diletakkan di atas bonet keretanya meletup dalam kejadian di hadapan sebuah restoran yang merupakan tempat kerjanya.

Siasatan awal mendapati mangsa telah melihat satu bungkusan berada di bonet keretanya jenis Toyota Corolla Altis dan memegangnya sebelum meletup.

Letupan itu mengakibatkan mangsa parah di badan dan tangan sebelum dikejarkan oleh orang awam ke Hospital Ampang.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam ketika sedang menerima rawatan.

Polis turut menemui beberapa objek dipercayai bahan letupan yang digunakan berhampiran lokasi kejadian tetapi masih menyiasat perkara berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top