Umum

Hampir 70 peratus penduduk Shanghai dijangkiti Covid-19

Seorang doktor kanan di sebuah hospital terkemuka di Shanghai mendedahkan kira-kira 70 peratus penduduk yang tinggal di bandar raya itu mungkin dijangkiti Covid-19.

Perkara itu dimaklumkan oleh Naib Presiden Hospital Rujin, Chen Erzhen ketika China berdepan peningkatan besar kes Covid-19.

Peningkatan mendadak kes Covid-19 dilaporkan selepas China mula melonggarkan sekatan ketat yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Chen yang merupakan ahli panel penasihat pakar Covid-19 Shanghai, menganggarkan sebahagian besar daripada 25 juta penduduk yang tinggal di bandar itu, mungkin dijangkiti dengan Covid-19.

“Ketika ini, penularan epidemik di Shanghai sangat meluas dan ia mungkin boleh mencecah 70 peratus populasi iaitu 20 hingga 30 kali ganda lebih tinggi berbanding jumlah dilaporkan pada April dan Mei lalu,” katanya kepada Dajiangdong Studio.

Shanghai dikenakan perintah berkurung selama dua bulan pada April tahun lalu ketika lebih 600,000 penduduk dijangkiti dan ramai dimasukkan ke pusat kuarantin.

Media tempatan melaporkan varian Omicron kini tersebar secara meluas di seluruh bandar.

Bagaimanapun, di beberapa bandar utama lain termasuk Beijing, Tianjin, Chongqing dan Guanzhou, pegawai kesihatan China menyatakan gelombang sudah mencapai kemuncak.

Di wilayah Zhejiang pula, pihak berkuasa memaklumkan sebanyak sejuta kes jangkitan baharu dikesan sejak kebelakangan ini dan wilayah itu sedang memasuki kemuncak gelombang Covid-19.

Sementara itu, Chen berkata, Hospital Rujin merekodkan sebanyak 1,600 kes kemasukan kecemasan setiap hari, dua kali ganda berbanding sebelum sekatan ditarik balik.

Katanya, 80 peratus daripada kes berkenaan membabitkan pesakit Covid-19. – AFP

PALING POPULAR

To Top