Umum

Tambak Johor meriah, ahli keluarga sambut kepulangan rakyat Malaysia

Tepat jam 12 tengah malam tadi, Malaysia memasuki Fasa Peralihan ke Endemik dan antara yang ditunggu-tunggu ramai adalah pembukaan sepenuhnya pintu sempadan negara.

Wakil Astro AWANI yang membuat tinjauan berhampiran Tambak Johor, di sini, mendapati suasana meriah dengan ramai saudara mara dan rakan-rakan bersedia menyambut kepulangan rakyat Malaysia dari Singapura.

Rakyat Malaysia itu yang kebanyakannya bekerja di republik berkenaan dan sudah lama tidak pulang ke tanah air disebabkan penutupan pintu sempadan, menjadi antara kumpulan pertama dan terawal merentas sempadan darat itu.

Tinjauan mendapati, sebahagian daripada ribuan rakyat Malaysai itu berjalan kaki manakala yang lain menaiki motosikal serta kereta dari Woodlands Checkpoints ke Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar.

Pergerakan mereka merentas sempadan bermula tepat jam 12 tengah malam dan dijangka berterusan, dengan gelombang paling ramai dijangkakan pada minggu pertama pembukaan sempadan itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini dilapor berkata, terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia yang berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari sebelum pandemik COVID-19 bermula.

Katanya, kerajaan negeri menjangkakan hampir 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan.

Beliau berkata kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, dan Bangunan Sultan Iskandar di akan beroperasi sepenuhnya, bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.

Katanya Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan supaya 130 sukarelawan Southern Volunteers, ditempatkan di kedua-dua CIQ tersebut untuk membantu rakyat Malaysia dan pengembara sekali gus memudahkan urusan mereka nanti.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top