Buletin

Muhyiddin jumpa Tun M bincang kerjasama PN, PEJUANG

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengesahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kerjasama berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bertemu Dr Mahathir yang juga Pengerusi PEJUANG kira-kira dua minggu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Mukhriz.

Menurutnya dalam pertemuan itu Muhyiddin mengemukakan beberapa cadangan untuk bergabung dalam PRU-15.

“Tan Sri Muhyiddin ada datang jumpa Tun (Mahathir) dua minggu lalu selepas PRN Johor. Dia mohon jumpa, Tun kata ‘ok’ untuk jumpa.

“Cadangan dikemukakan ialah untuk bergabung dengan semua (parti) walaupun dia (Muhyiddin) dalam kerajaan (Perikatan Nasional).

“Setakat ini ‘approach’ sudah ada tetapi setuju atau tidak belum ada lagi. Mungkin saya boleh katakan buat masa ini kita kurang setuju dengan apa yang dicadangkan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program bersama Pejuang Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini

Menurut Mukhriz, selain Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pejuang turut menerima pelawaan daripada pembangkang untuk menjalinkan kerjasama dalam PRU-15, namun tiada sebarang keputusan dibuat setakat ini.

Dalam pada itu, Mukhriz mengakui hubungan antara Tun Mahathir dan Muhyiddin kini agak dingin ekoran beberapa krisis yang berlaku sebelum ini.

“Setakat ini hubungan masih dingin. Kena fahamlah ‘luka’ kami belum pulih lagi dan masih ‘berdarah’, namun kami faham demi negara dan rakyat tak ada benda yang kami tak sanggup buat kalau niat itu betul.

“Namun, jika niat tak betul macam mana kami nak setuju, misalnya, tidak akan bergabung bagi tujuan melepaskan diri daripada mahkamah. Kami sejak awal lagi tidak mahu bersekongkol dengan mereka,” katanya.

Sumber : Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top