MESYUARAT Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali pertama dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihadiri semua pemimpin parti membentuk Kerajaan Perpaduan telah selesai berlangsung pada Selasa.
Bagaimanapun, mesyuarat itu kemudiannya menimbulkan tanda tanya apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak dijemput untuk menyertainya.
Apakah punca-punca yang menyebabkan parti dipimpin oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu tidak dijemput menyertainya sedangkan Muda juga menyokong Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar?
Ramai juga yang ingin mengetahui jawapan tentang perkara ini kerana mustahal mereka yang terlibat tentang jemputan terlepas pandang kerana jika dilihat logo Sekretariat Kerajaan Perpaduan turut mengandungi logo Muda dan perlunya parti itu berada dalam mesyuarat.
Setiausaha Agung Muda, Amir Abd Hadi menerusi ciapan Twitternya telah menyuarakan rasa terkilannya kerana tidak diundang menghadiri mesyuarat pertama berkenaan.
Amir menjelaskan tidak menerima sebarang jemputan termasuk menerusi surat, mesej atau emel.
“Saya, Setiausaha Agung parti. Kalau ada sebarang komunikasi, sudah tentu melalui saya.
“Tidak ada surat, mesej, e-mel yang diterima. Kami hanya tahu ia berlangsung dari media,” katanya menjawab satu perkongsian dari ciapan pengguna akaun di Twitter beliau.
Amir juga berharap sedikit taklimat diberikan kepada mereka bagi membolehkan partinya yang kini menjadi sebahagian kerajaan mengetahui sedikit perkembangan hasil dari mesyuarat berkenaan. – Sinar Harian