Umum

Tangguh umrah: THTS saran kumpul dana tanggung kerugian

Mekanisme yang dilaksana bagi mengumpul dana untuk pembelian vaksin COVID-19 boleh digunakan untuk menampung kerugian jemaah umrah dan penyedia perkhidmatan pakej umrah, disebabkan penangguhan aktiviti tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travels & Services (THTS) Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali berharap, cadangan beliau itu dapat dipertimbangkan oleh pihak berwajib yang berkenaan.

Ini kerana, katanya, tindakan kerajaan menangguhkan aktiviti umrah berkuat kuasa 8 Jan itu mengejutkan pihak terlibat yang tidak bersedia dengan pelan sandaran.

“Pada peringkat awal pandemik tempoh hari, kita cari dana berbilion ringgit untuk beli vaksin sebagai ikhtiar kita cegah penularan COVID-19.

“Kali ini, apabila merebaknya varian Omicron, sebagai salah satu langkah pencegahan, kita tangguhkan umrah.

“Tetapi malangnya kita perlu dana juga untuk sekurang-kurangnya membuat bayaran balik (refund) kepada mereka yang tak jadi pergi.

“Maka inilah masa untuk kita mencari dana agar dapat membuat refund 80 peratus lagi kepada jemaah umrah yang tertangguh,” katanya.

1 Jan lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

Susulan itu, penyedia perkhidmatan pakej umrah mendakwa pihaknya mengalami kerugian sekitar 20 peratus daripada keseluruhan kos per kepala, dengan baki 80 peratus ditanggung sepenuhnya oleh pelanggan.

Ahmad Ruzman menyarankan kaedah sama dalam perolehan dana pembelian vaksin diguna pakai dalam kes penangguhan umrah.

PALING POPULAR

To Top