Umum

Jangan mudah ditipu pakej umrah terlalu murah

Gambar YADIM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej umrah yang ditawarkan pada harga yang terlalu murah.

Menurutnya, sesiapa yang berhasrat untuk menunaikan umrah seharusnya menyemak latar belakang agensi tersebut di platform yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan, tawaran yang terlalu murah, RM4,000 misalnya, secara logiknya tidak mampu menampung kos tiket penerbangan, kos penginapan, kos di Makkah, lawatan ke Madinah dan lain-lain kos sampingan sepanjang tempoh menunaikan umrah itu.

“Biarpun perihal ini di bawah bidang kuasa MOTAC, tapi saya sentiasa menasihati bagi tujuan meningkatkan kesedaran kepada orang ramai berkaitan isu tipu umrah ini,” katanya selepas menghadiri Pertandingan Akhir Akademi Daei Muda Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2023 pada Jumaat malam.

Mohd Na’im berkata demikian mengulas satu video tular di media sosial yang membongkar penipuan sebuah syarikat menawarkan pakej umrah kepada penduduk di kawasan kampung.

Beliau turut menasihati mana-mana individu yang menjadi mangsa tipu syarikat ataupun agensi yang menawarkan pakej umrah agar membuat laporan polis dan menyimpan segala bukti transaksi dan perjanjian.

Sementara itu, Pertandingan Akhir Akademi Daei Muda Yadim 2023 yang melibatkan 6 peserta menyaksikan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Khairul Aizat Yusoff berusia 23, diumumkan sebagai pemenang utama sekali gus menerima Anugerah Perdana Daie Muda.

Kemenangan itu menyaksikan beliau membawa pulang hadiah bernilai RM40,000 dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional, tajaan Rakan Niaga Premium MyAngkasa Amanah Berhad dan pakej tajaan Umrah EZ Travel Sdn Bhd.

PALING POPULAR

To Top