Umum

Teguran terbuka Kor Ming terhadap YDP MPTI di media sosial tidak patut – PN Perak

Tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming membuat teguran terbuka terhadap Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) melalui Twitter miliknya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata tindakan Kor Ming itu jelas menunjukkan serangan terbuka terhadap penjawat awam negeri.

Menurutnya, jika benar penjawat awam itu gagal melaksanakan tanggungjawabnya, beliau seharusnya dipanggil untuk beri penjelasan.

“Anda seorang menteri maka jadilah seperti seorang menteri dan bukan bertindak seperti anda seorang ‘content creator’ menggunakan media sosial menyatakan kekesalan anda,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu Kor Ming dalam ciapannya kelmarin menyatakan kekecewaan beliau terhadap YDP MPTI yang didakwa gagal menangani masalah pengurusan sampah hingga mendakwa membangkitkan kemarahan orang ramai.

Zainol Fadzi berkata, tindakan itu juga menunjukkan Kor Ming gagal mengamalkan apa yang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 18 Januari yang mahukan segala teguran mengikut saluran betul.

“Apakah beliau terlepas pandang Anwar sebelum ini menyentuh jika kakitangan bawahan mahu menegur menteri atau pegawai atasan perlulah guna mekanisme seperti pertemuan setiap hari termasuk mesyuarat bulanan.

“Pihak bawahan mahu tegur menteri kena ikut saluran namun jika menteri mahu menegur boleh guna apa jua cara termasuk media sosial, bagi saya ini satu bentuk penganiayaan terhadap penjawat  awam negeri,” ujarnya.

Katanya, perkara tersebut tidak seharusnya disuarakan secara terbuka tanpa proses pendengaran keadilan terhadap individu yang menuduh dan dituduh ketika wujud saluran komunikasi lain yang lebih berhemah.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top