Umum

Nurul Izzah dijemput ketuai bersama sekretariat penasihat kewangan

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Tan Sri Hassan Marican telah menjemput Nurul Izzah Anwar untuk mengetuai secara bersama sekretariat yang dibentuk bagi menyokong operasi jawatankuasa itu.

Hassan dalam satu kenyataan berkata, satu sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah dibentuk dan ia terletak di Menara Berkembar PETRONAS.

Katanya, Nurul Izzah dijemput untuk mengetuai secara bersama sekretariat yang dibentuk itu bersama Khairil Anuar Ramli.

“Jawatankuasa Penasihat melapor terus kepada Menteri Kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung pada keperluan.

“Satu sekretariat untuk menyokong operasi Jawatankuasa Penasihat telah dibentuk dan terletak di Menara Berkembar PETRONAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan telah mengadakan mesyuarat sulungnya pada 10 Februari 2023, yang mana ia dipengerusikan oleh Hassan, yang juga Penasihat PETRONAS.

Mesyuarat itu dihadiri oleh ahli Jawatankuasa Penasihat yang lain iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd, Datuk Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ulung Ekonomi Universiti Malaya, Datuk Profesor Ulung Rajah Rasiah dan Profesor Ekonomi di Sunway University Business School, Dr Yeah Kim Leng.

Mengulas mengenai peranan Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan, Hassan berkata, jawatankuasa itu akan menasihati Menteri Kewangan mengenai cara untuk meningkatkan asas hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Beliau berkata, Jawatankuasa Penasihat itu juga akan menasihati Menteri Kewangan mengenai perkara berkaitan subsidi, termasuk menyemak dan menyusun semula subsidi sedia ada dan penyediaan perlindungan sosial yang lebih holistik.

Katanya, peranan jawatankuasa itu juga membabitkan perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk menentukan kaitannya dalam konteks semasa dan menyatukan yang mana sesuai dan perkara berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

Sebelum ini, Anwar dalam satu kenyataan berkata, lima individu dinamakan bagi menganggotai badan penasihat khas yang akan membantunya sebagai Menteri Kewangan.

Perdana Menteri menegaskan badan penasihat khas yang dilantik itu tidak akan menerima sebarang bayaran daripada kerajaan.

Sumber: Berita Harian

PALING POPULAR

To Top