Umum

Tepukan, sorakan iringi pasukan Smart di Lapangan Terbang Turki.

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) kumpulan pertama (MAS-01) menerima sorakan dan tepukan daripada rakyat Turki di Lapangan Terbang Gazientep di Turki selepas menamatkan misi mencari dan menyelamat (SAR) di sana.

Pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas berada 14 hari di kawasan “ground zero” di wilayah Gazientep yang terkesan akibat gempa bumi pada 6 Feb lalu.

Terdahulu, usaha pasukan tersebut mendapat pujian apabila berjaya menyelamatkan lima sekeluarga yang terperangkap dalam runtuhan bangunan kediaman mereka selama enam hari.

Jurucakap pasukan berkenaan berkata, kumpulan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.30 tengah hari ini.

“Seramai 70 ahli kumpulan penyelamat pertama dijangka tiba (di KLIA) pada hari ini, mereka yang berada di kawasan “ground zero” selama 14 hari berjaya menyelamat dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

“Ini adalah kejayaan buat pasukan penyelamat Malaysia. Masih ada lagi pasukan menyelamat berada di wilayah ini untuk melakukan kerja-kerja menyelamat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Malaysia menghantar pasukan Smart dengan 70 anggota ke Turki bagi membantu misi SAR mangsa gempa bumi di selatan Turki sebagai tanda solidariti.

Gempa bumi kuat bermagnitud 7.8 melanda selatan Turki dan barat laut Syria pada 6 Februari lalu, meragut puluhan ribuan nyawa.

Turki mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan SAR berjalan lancar.

Sumber: FMT

PALING POPULAR

To Top