Umum

Cubaan seludup daging babi sejuk beku di KLIA gagal

Cubaan menyeludup daging babi sejuk beku menggunakan taktik menyembunyikan hasilan haiwan itu dalam 100 kotak gabus digagalkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Kargo pada Selasa lepas.

Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim menerusi satu kenyataan hari ini berkata taktik itu digunakan oleh ejen penghantaran yang mengisytiharkan hasilan haiwan itu sebagai pakaian.

Sebanyak 3,475 kilogram hasilan haiwan yang dianggarkan bernilai RM28,000 dari Vietnam itu ditahan setelah syarikat tempatan yang cuba membawa masuk gagal mengemukakan dokumen permit import yang sah dan sijil kesihatan dari negara asal, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Sampel produk daging babi tersebut akan dihantar ke Makmal Kesihatan Veterinar bagi tujuan persampelan untuk mengenal pasti penyakit African Swine Fever (ASF), katanya.

“Tujuan larangan pengimportan serta membawa masuk daging berkenaan adalah bagi menghalang risiko penularan wabak penyakit ASF di Malaysia dan ia akan menjejaskan industri penternakan babi negara,” katanya.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top