Umum

Terma penyelesaian kes saman Mohamed Apandi terhadap Tun Mahathir, Kerajaan dikelaskan OSA

Terma-terma penyelesaian berhubung kes saman bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara, dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

“Semasa rundingan penyelesaian dijalankan bagi penyelesaian tersebut, pihak-pihak kepada guaman ini, khususnya pihak plaintif (Mohamed Apandi) yang diwakili oleh Tetuan Shukor Baljit and Partners, dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju agar terma-terma penyelesaian dirahsiakan dan tidak didedahkan kepada pihak umum,” menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Azalina memaklumkan perkara itu bagi menjawab soalan M.Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) yang meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada Mohamed Apandi apabila kerajaan menyelesaikan kes saman itu.

Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Pada 13 Okt 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah.

Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015 memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top