Umum

Tesla membina 2 stesen ‘Destination Charging’ di Pulau Pinang

Gambar Hiasan

Tesla bakal mengembangkan rangkaian stesen pengecasannya ke Pulau Pinang dengan pembinaan dua stesen “Destination Charging” di All Seasons Place dan The Ship Campus di Batu Kawan.

Menurut kenyataan dari syarikat automotif dari Amerika Syarikat itu, dengan peluasan liputan stesen pengecasan ini, pemilik kenderaan Tesla dapat menikmati perkhidmatan mengecas merentas negara dari Singapura ke Johor dan Pulau Pinang.

“Stesen ‘Destination Charging’ Tesla menyediakan pilihan pengecasan yang mudah dan terjamin bagi pemilik Tesla yang mana mereka hanya perlu pasang masuk ke soket dan menikmati pengecasan secara percuma.

“Menerusi aplikasi Tesla, pemilik boleh memantau status pengecasan dan menerima pemberitahuan apabila kenderaan mereka selesai dicas,” katanya dalam kenyataan.

Sejumlah 12 stesen pengecasan akan dibangunkan di lokasi iaitu di The Ship Campus (8) dan di All Season Place (4).

Terkini, terdapat 6 stesen “Supercharging” 8 stesen “Destination Charging” Tesla di Malaysia, yang masing-masing menawarkan 30 dan 37 pengecas di bandar-bandar utama di seluruh negara.

“Tesla akan terus membina lebih banyak infrastruktur pengecasan di Pulau Pinang dan memperluas rangkaian pengecasannya di Malaysia,” katanya.

PALING POPULAR

To Top