Umum

Tiada faedah kekalkan telur di Terengganu- Ahmad Maslan

Gambar UMNO

Pegundi perlu menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman untuk meletakkan satu-satunya wakil Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Ahmad Maslan, pengundi perlu berfikiran matang dengan tidak menghiraukan sentimen kononnya rakyat Terengganu masih dengan ‘mood’ untuk mengekalkan rekod 40-0 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Apa faedahnya hendak kekalkan ‘telur’ di Terengganu. Tiada faedah pun.

“Sekiranya calon Pas iaitu Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, kawasan berkenaan masih pembangkang di peringkat kerajaan Pusat.

“Pada pandangan saya, pembangunan yang ada di Kemaman ketika ini, banyak dilaksanakan ketika BN memerintah sebelum ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian selepas mengadakan tinjauan bekalan barangan keperluan di sebuah pasar raya di daerah Pontian pada Ahad.

Terdahulu, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dilaporkan media berkata, rakyat Terengganu tidak rela untuk memecahkan ‘telur’ dan masih dengan ‘mood’ 40-0 iaitu menolak kepimpinan UMNO, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I mengingatkan pengundi Parlimen Kemaman agar menjadikan kawasan itu sebagai jambatan penghubung di antara Terengganu dengan Kerajaan Perpaduan.

“Jangan ‘dibakar’ satu-satunya jambatan perhubungan ini. Gunakan peluang ini, jika tidak perlu menunggu sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember ini menyaksikan saingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi Pas.

Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh 65,714 undi dalam pertandingan 4 penjuru menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi dan dua lagi calon, Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (PH) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340.

PALING POPULAR

To Top